Kursus Kemahiran Teknikal, Istiadat Pengakap dan Projek Perintis PPMKLM IPG KPM Peringkat Kebangsaan 2025

Ipoh, 9 November 2025 – Kursus Kemahiran Teknikal, Istiadat dan Projek Perintis PPMKLM IPG KPM telah berlangsung selama 3 hari bermula pada 7 November 2025 hingga 9 November 2025. Kursus ini diadakan di Pusat Latihan Kokurikulum (PULAKO), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. Program ini disertai oleh 88 orang Penolong Pemimpin dari 17 buah kampus dan dikelolakan oleh 24 orang jurulatih yang terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya Negeri, Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Kumpulan Latihan Malaysia (MPKLM), Pesuruhjaya Latihan Negeri, Pesuruhjaya Daerah dan Penolong Pesuruhjaya Daerah.

Majlis penutupan kursus ini diserikan dengan kehadiran Encik Jamhari bin Saari, Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Latihan IPGM sebagai perasmi majlis penutup. Turut hadir, Tuan Sarudin bin Md Amin, wakil rasmi Ketua Pesuruhjaya Negeri Kumpulan Latihan Malaysia (KLM), Tuan Khairudin bin Saidin, Bendahari Kehormat MPKLM, Dr Mazlan bin Ab Karim, Pesuruhjaya Latihan Negeri KLM dan Puan Zaharah binti Abdul Manaf, sebagai pengarah kursus.

Antara tujuan kursus ini dijalankan adalah untuk memantapkan kemahiran para peserta terhadap ilmu kepengakapan yang merangkumi kemahiran istiadat pengakap kanak-kanak, pengakap muda dan remaja, kemahiran berkawad dinamik dan kawad tongkat, projek perintis (pioneering) yang merangkumi ikatan dan simpulan serta pandu arah (orienteering). Selain itu, kursus ini juga bertujuan menjalinkan ikatan persahabatan yang lebih erat diantara peserta dari setiap kampus yang berbeza.