
TAWAU, 2 Jun 2025 – Pasukan Pengakap Malaysia (PPM) Kumpulan Latihan Malaysia 26 (KLM26) dari IPG Kampus Kent mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya Institut Pendidikan Guru (IPG) yang hadir serta menyumbangkan tenaga sebagai sukarelawan di Jambori Antarabangsa Nusantara Tawau Ke-3.
Program yang berlangsung selama lima hari, bermula 29 Mei hingga 2 Jun 2025, bertempat di Kem Pengakap Tiku, Tawau, menghimpunkan para peserta dari pelbagai negara serantau. Kehadiran KLM26 yang diwakili oleh 28 orang ahli dan diketuai oleh En. Syhibin Bin Japar, Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri PPM KLM IPG Zon Sabah, telah mendapat pujian daripada pelbagai pihak.
Komitmen, disiplin serta semangat kesukarelawanan tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan ini menjadi perhatian utama sepanjang penganjuran jambori tersebut. Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan atas sumbangan tenaga dan dedikasi luar biasa yang ditampilkan oleh para sukarelawan dari IPGM Kampus Kent.
Penyertaan ini bukan sahaja meningkatkan nama baik institusi, malah menjadi contoh kepada IPG lain dalam memupuk semangat kepimpinan, perpaduan serantau dan penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan berprestij.

