Penyertaan Sukarelawan KLM Dalam Program 1st Kuala Lumpur Agoonoree 2025

Kuala Lumpur, 31 Mei 2025 – Program 1st Kuala Lumpur Agoonoree 2025 telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Brickfields 1 & 2, Kuala Lumpur bermula 28 Mei hingga 31 Mei 2025. Program yang berlangsung ini telah disertai oleh 15 orang pengakap KLM yang bertugas sebagai urusetia bagi menjayakan program tersebut. Para petugas KLM ini  terdiri daripada lima orang KLM15, empat orang KLM17, tiga orang KLM30, seorang KLM21, seorang KLM35 dan seorang KLM10.

Program yang julung kali diadakan ini diserikan dengan kehadiran Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Dr. Mohammed Mukhyuddin bin Sarwani sebagai perasmi bagi program tersebut. Turut hadir di dalam majlis perasmian tersebut, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Tuan Mohd. Hilmi bin Abu Bakar, Pesuruhjaya Program Negara, Tuan Haji Noor Hashim bin Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri W.P Kuala Lumpur, YBrs. Zamri bin Saiman.

Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada ahli-ahli Pengakap dan peserta lain berinteraksi serta menyokong golongan berkeperluan khas melalui aktiviti-aktiviti inklusif, membina sahsiah diri, serta memperkukuh nilai perpaduan, kepimpinan dan khidmat masyarakat. Di samping itu, ia merupakan salah satu usaha untuk memperkasa golongan berkeperluan khas melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kepengakapan yang menyeronokkan dan membina jati diri mereka.