Penyertaan Pengakap KLM Dalam International Scout Youth Leadership Forum 2025 (SYL Forum)

Kuala Nerus, 6 Julai 2025 – Program International Scout Youth Leadership Forum 2025 telah berlangsung di Ar Riyadah Residence, Kuala Nerus, Terengganu. Program yang bermula pada 2-6 Julai ini telah disertai oleh empat orang pengakap KLM, terdiri daripada tiga orang KLM30 dan seorang KLM21. Forum peringkat antarabangsa ini telah berjaya menarik penyertaan belia pengakap dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, India, Nepal, Jepun dan Timor-Leste.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Ustaz Haji Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin, Ketua Pengakap Negara; Tan Sri Dato’ Haji Abdullah bin Haji Taib, Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu; dan Encik Shahrul Azwan bin Mohamad @ Endut, Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu. Turut hadir ialah para tetamu kehormat lain bagi memeriahkan majlis tersebut.

Tujuan program ini diadakan adalah sebagai sebuah platform yang signifikan dalam usaha melahirkan kepimpinan belia pengakap yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Selain itu, forum ini turut memberi peluang dan ruang kepada para peserta untuk mengenali serta menghargai keunikan adat resam dan budaya Malaysia, khususnya negeri Terengganu. Pendedahan kepada warisan budaya tempatan ini dapat membina rasa hormat dan keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya.