Penyertaan Pengakap KLM30 Dalam Program Kursus Asas Juruterbang Dron (Basic Drone Pilot Course) 2025

Marang, 9 Februari 2025 – Kursus Asas Juruterbang Dron (Basic Pilot Drone Course) 2025 telah berlangsung selama 2 Hari di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, Terengganu. Kursus yang berlangsung pada 8 hingga 9 Februari 2025 ini telah disertai oleh 3 orang pelajar dan 3 jurulatih dari pengakap KLM30. Kursus ini merupakan anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang.
Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Tuan Haji Nasaruddin Bin Haji Samsuddin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Tuan Shahrul Azwan Bin Mohamad @ Endut pada majlis penutup tersebut. Antara objektif program ini adalah memberikan pendedahan kepada ahli Pengakap berkaitan teknologi dron dan penggunaannya dalam pelbagai bidang yang menyeluruh di Malaysia ini. Selain itu, kursus ini juga dapat menggalakkan minat ahli Pengakap khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) melalui pembelajaran praktikal.