SELANGOR, 26 Ogos 2024 –Ujian Lencana Keahlian Pengakap telah berjaya dilaksanakan oleh peserta KLM 23 seramai 51 orang yang diadakan di IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi, Selangor. Ujian ini dilaksanakan selama 2 hari 1 malam bermula pada tarikh 23-24 Ogos 2024. Ujian ini dibantu oleh seorang jurulatih yang berpengalaman dan juga seorang Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kokurikulum di IPGM Kampus Pendidikan Islam iaitu Dr. Mohammad Bin Seman. Peserta pengakap mendapatkan pelbagai input yang menarik untuk dijadikan bahan rujukan sebelum menjalani praktikum fasa 1.
Ujian Lencana Keahlian Pengakap ini adalah bertujuan untuk memberikan pengetahuan umum berkaitan dengan asas-asas pengakap kanak-kanak. Ianya juga adalah supaya penolong pemimpin mempunyai persediaan awal berkaitan dengan ilmu-ilmu yang perlu diajarkan kepada murid-murid sekolah pada suatu hari nanti. Selain itu juga, ianya dapat memastikan semua penolong pemimpin menjadi seorang pengakap yang lebih kompeten dan berpengalaman dengan ilmu-ilmu pengakap kanak-kanak.
Kesimpulannya, peserta Ujian Lencana Keahlian Pengakap KLM 23 telah menunjukkan kesungguhan yang optimum sepanjang ujian lencana ini dilaksanakan. Jurulatih juga tidak jemu mencurahkan pelbagai ilmu yang bermanfaat dan berguna kepada bakal-bakal guru untuk menjadi seorang pemimpin pengakap yang berpengalaman dan berpengetahuan yang luas tentang ilmu-ilmu pengakap. Semoga ilmu yang disampaikan kepada peserta pengakap ini dapat dijadikan panduan untuk kini dan selamanya.